Total Pageviews

Monday, 16 March 2015

INOVASI PENGAPLIKASIAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.


Penggunaan ICT sememangnya menjadi tonggak utama bagi melahirkan generasi yang celik IT dan berinovasi selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu  menitikberatkan aspek  jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Dunia pendidikan pada masa kini amat memerlukan anjakan paradigma untuk merealisasikan Wawasan 2020. Menurut Adenan Ayob et. al (2011:169) beliau mengatakan bahawa inovasi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua fasa, iaitu bermula pada tahun 1981-1989. Seterusnya fasa kedua bermula pada tahun 1990. Kedua-dua fasa ini memberi tumpuan terhadap pengajaran berintegrasikan komputer. 



KEPENTINGAN (ICT) DALAM DUNIA PENDIDIKAN
  • Profesion keguruan pada alaf ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Ledakan maklumat tanpa sempadan seiring dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu merupakan salah satu situasi yang mesti dihadapi oleh guru.
  • Penguasaan ICT dapat membantu guru menghadapi ranjau dan cabaran dalam dunia pendidikan dan bertindak tepat dengan kehendak semasa.
  • Fungsi guru sebagai agen perubahan sosial dapat memenuhi permintaan masyarakat setempat melalui ilmu dan kemahiran yang dimiliki seterusnya menjadi rujukan dan idola dalam masyarakat.
  • Kemahiran guru dalam bidang ICT dapat membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta potensi pelajar sekali gus dapat menanam rasa cinta akan ilmu pengetahuan.
  • Hal ini secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan cemerlang berminda kelas pertama sebagaimana yang digarapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).






MENGAPA PENGGUNAAN ICT DIPERLUKAN?

1) Meningkatkan kefahaman sesuatu konsep, memberi gambaran visual dan memudahkan pengiraan kompleks.
2) Merangsang murid untuk belajar secara berkesan dengan bimbingan yang minimum.
3) Membantu murid dalam proses penyelesaian masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat.
4) Mewujudkan peluang pembelajaran yang sama kepada murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
5) Membantu murid mendapat dan mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa
6) Mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan.
7) Memupuk sifat ingin tahu pelajar dan ingin mencuba di kalangan murid.
8) Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan imaginasi murid.
9) Menggalakkan murid merealisasikan pembelajaran terarah kendiri


  • Sektor pendidikan menjadi agen perubahan bagi mempertingkatkan kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan generasi muda.
  • Keperluan terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan amat dirasai kerana ICT telah menjadikan dunia pendidikan sebagai hak milik pelbagai lapisan masyarakat.
  • Hal ini demikian kerana, maklumat dan sumber pendidikan dapat dicapai walau di mana-mana sahaja kita berada.
  • Pengaruh dan kemajuan era ICT mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian, serta pengajaran dan pembelajaran.
  • Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk melalui pembudayaan komputer, Internet, dan multimedia menzahirkan kewujudan masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan.
  • Bangsa yang maju adalah bangsa yang mementingkan perkembangan intelektual.
  • Dalam konteks ini teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan penyebaran pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial. 




CABARAN MEREALISASIKAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

FAKTOR GURU

i) Persepsi guru terhadap kepentingan komputer. 
  • Walaupun ramai guru yang telah bersedia dengan perubahan penggunaan komputer di dalam pengajaran tetapi masih ada guru yang lebih selesa menggunakan kaedah konvensional kerana relevan dengan sistem peperiksaan.

ii) Kerisauan untuk menghadapi perubahan. Terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer iaitu: 
  • Risau sekiranya rosak apabila menggunakan peralatan tersebut.
  • Risau kerana merasakan mereka tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi.
  • Risau sekiranya disuruh oleh sekolah untuk melakukan semua kerja kerana mahir dalam penggunaan komputer. 
iii) Masa dan beban tugas guru.
  • Penggunaan ICT ataupun komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru untuk menyediakannya. Guru-guru perlu bersedia menyediakan bahan pengajaran, penyediaan perisian serta perlu mahir dengan selok-belok komputer.
  • Namun begitu, para guru tidak mempunyai masa yang banyak untuk penyediaan bahan ICT kerana mereka mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 27 waktu seminggu.  
  • Guru-guru juga mempunyai tugas-tugas lain seperti menjadi setiausaha peperiksaan, guru data, ketua-ketua panitia, Ajk PIBG dan sebagainya.
  • Situasi ini akan menyukarkan guru untuk membuat persediaan yang mantap jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri dalam pengajaran. 

iv) Kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.
  • Penggunaan ICT menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan “Power point” dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. 
  • Penyediaan bahan-bahan tersebut memerlukan masa yang lama kerana melibatkan perisian yang memerlukan kemahiran yang tinggi.
  • Oleh kerana tidak semua bahan pengajaran tersedia untuk digunakan terus, maka guru dikehendaki menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik,tetapi keinginan guru untuk penambahbaikan bahan PdP hanya tinggal sebagai kemahuan sahaja kerana guru-guru kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan menggunakan komputer dalam PdP. 



CABARAN MEREALISASIKAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

FAKTOR SEKOLAH

i) Peranan dan sikap pengetua.
  • Guru hanya memberikan penekanan kepada peperiksaan sahaja sehingga terdapat segelintir guru mengarahkan pelajar menghafal modul jawapan.
  • Guru hanya menggunakan pendekatan buku teks terutamanya dalam sesi PdP dan latihan kepada pelajar.
  • Penggunaan kaedah biasa seperti buku latihan dan buku aktiviti lebih disukai oleh guru-guru berbanding dengan memberikan latihan melalui penggunaan ICT kerana buku-buku tersebut menjadi bukti perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
  • Guru menganggap penggunaan ICT akan mengambil masa semasa hendak memulakan pengajaran dan pembelajaran. 


CADANGAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KEPADA PIHAK SEKOLAH

  • Membuat pemilihan kajian tindakan berdasarkan bahan pengajaran teknologi instruksional di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
  • Bahan terbaik di peringkat kebangsaan akan dikumpulkan melalui CD dan disebarkan di seluruh negara.
  • Mewajibkan bakal guru di universiti mengambil dua atau tiga kertas berkaitan komputer sebagai subjek teras.
  • Mengutamakan kursus latihan dalam perkhidmatan (LADAP) yang berkaitan teknologi instruksional.
  • Mewujudkan sikap positif jangka panjang guru terhadap teknologi instruksional melalui motivasi intrinsik.
  • Guru sendiri hendaklah berperanan dan rasa bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan teknologi instruksional.
  • Pentadbir menggunakan sebahagian besar pengurusan dan pentadbiran sekolah menggunakan teknologi maklumat.




KEKURANGAN PRASARANA DAN BAHAN SOKONGAN

Salah satu cabaran penting pendidikan di sekolah ialah menyediakan kemudahan prasarana dan bahan sokongan untuk guru dan semua pelajar. Ini bermakna kemudahan ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan warga sekolah tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya.
  • Bilangan komputer di sekolah jauh lebih rendah daripada bilangan pelajar.
  • Bilik komputer hanya boleh digunakan oleh sebilangan kecil pelajar sahaja dalam satu-satu masa.
  • Penggunaan ICT dalam pengajaran hanya terfokus kepada sesuatu mata pelajaran dan dalam masa-masa yang tertentu sahaja.
  • Bilangan komputer yang boleh digunakan sering kali terhad disebabkan oleh kerosakan teknikal yang dialami. 
  • Pembekalan yang tidak berkualiti mutu peralatan ICT yang rendah boleh mengganggu proses penggunaan ICT dalam pengajaran.
  • Masalah penyenggaraan makmal komputer di sekolah.